Tombiruo: Penunggu Rimba (Review)
(Spoiler alert)
Dikhabarkan bahawa Tombiruo telah berjaya mengutip RM 2 juta dalam masa 4 hari tayangan dan Negeri Sabah menyumbang kepada kutipan tertinggi filem ini setakat ini. Tahniah kepada semua warga produksi Tombiruo.
Tombiruo adalah filem adaptasi novel thriller terhangat Ramlee Awang Murshid (RAM) yang telah diterbitkan pada tahun 1998. Novel ini berkisarkan kepada Kisah Lagenda Masyarakat Kadazan-Dusun di Hutan Keningau berkenaan dengan seorang Adiwira bernama Tombiruo yang dipercayai boleh membangkitkan hutan dan dalam novel ini, Tombiruo bertindak selaku penyelamat hutan daripada kerakusan manusia memusnahkan ekosistem hutan di Keningau, Sabah. Plot novel yang dipenuhi persoalan demi persoalan dengan plot yang berserabut dan akhirnya terjawab dalam babak-babak terakhir novel, dan sememangnya garapan novel RAM kebanyakannya mempunyai unsur-unsur thriller sebegini, yang menyebabkan pembacanya tidak lekang membaca karyanya sehingga habis semua bab dalam novelnya.
Berbeza dengan filem yang diadaptasikan daripada novel ini, Pengarah Seth Larney dan Nasir Jani mencuba sebaik mungkin memendekkan durasi filem ini dengan mengekalkan seberapa banyak plot cerita yang ada persamaan dengan novel, dan garapan plot yang disusun secara selari dengan garis masa tidak memerlukan penonton berfikir atau berteka-teki seperti cerita Ju-on atau Inception. Ia adalah filem yang mudah difahami tetapi masih mengekalkan plot-plot novel, dan setiap saat filem ini perlu ditonton jika tidak mahu tertinggal perkara penting dalam filem ini. Sepertinya, anda perlu gam punggung di kerusi pawagam sehingga selesai.
Narasi Monsiroi, Bobolian yang memainkan watak penting dalam filem ini dalam Bahasa Kadazan-Dusun dengan teknik pemceritaan yang membangkitkan "mood" thrill dan menarik perhatian penonton dengan kelainan daripada filem-filem melayu lain, dan kebijaksanaan Bobolian dengan intonasi dan gaya bahasa yang memukau ini ditambah pula dengan babak pertarungan dua pahlawan Kadazan bermain parang menambahkan lagi seri pada prolog filem ini. Aksi lincah penuh bertenaga di dalam hujan lebat dan dalam air sungai separas pinggang sangat-sangat mengujakan. Tetakan parang dengan bunyi yang merecing itu amat menakutkan, dan sorotan rakaman yang benar-benar hidup menyebabkan Prolog Tombiruo terletak pada kelasnya yang tersendiri.
Banyak babak-babak mendebarkan dan berkelas antarabangsa yang dipamerkan dalam filem ini. Unsur-unsur mistik dalam penjenamaan Tombiruo sebagai adiwira yang dapat mengawal hutan juga dipamerkan dengan akar pepohonan memanjang dan membantu Tombiruo dari terjatuh dari air terjun tinggi semasa kecilnya dan raungan Tombiruo yang menggegarkan tanah serta ketangkasan Tombiruo mengelak peluru-peluru yang dilepaskan oleh Wong, villain utama dalam cerita ini. Keadaan ini mewujudkan suatu fenomena yang lari dari kebiasaan filem melayu.
Tombiruo adalah Cerita Wajib Tonton tahun ini. Kekuatan Tombiruo ialah pada latar tempatnya yang indah dan suasana dalam hutan yang sangat nyata, berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu yang kebiruan. Keindahan alam dalam Tombiruo ini dan kebijaksanaan Cameraman bermain dengan latar tempat ini menambahkan lagi daya tarikan dalam filem ini.
Selain itu, lakonan-lakonan hebat Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda dan sebagainya menghidupkan watak-watak novel ini ke tahap optima. Renungan bahasa mata Ejim (Zul Ariffin) di sebalik topeng dapat menggambarkan kengerian watak Tombiruo. Ditambah pula dengan kemahiran Ejim membuka gerak langkah silat dan combat yang sungguh bergaya dan pertempuran demi pertempuran yang melihatkan watak itu hidup sebagai seorang yang benar-benar lahir sebagai Penunggu Rimba. Keadaan Ejim yang kekok apabila pertama kali berhadapan dengan Wan Suraya (Nabila Huda) menambahkan lagi keadaan Ejim yang nampak benar-benar baru keluar dari hutan.
Farid Kamil pula hilang dalam filem ini. Seolah-olah dia telah dirasuk sepenuhnya oleh Watak Amiruddin yang kehilangan Salina, isteri yang sangat dicintainya kerana terlibat dalam kemalangan. Amiruddin tidak dapat memaafkan dirinya dan dia menyalahkan dirinya kerana tidak berada di sisi isterinya, sehingga terjadinya kemalangan yang meragut nyawa isteri dan bapa mertuanya, Berham.Dengan keadaan yang kusut masai tetapi sangat tegas, terutamanya semasa menjawab pertanyaan Wan Suraya dan menjejak Tombiruo yang difikirkan sebagai pembunuh isterinya. Apa yang menarik dalam filem ini, gerak silat sendeng yang dipamerkan oleh Amiruddin sangat indah dan tidak sumbang gerak langkahnya menjadi penanda aras kepada watak Amiruddin selari dengan kehendak penonton di Malaysia yang mahukan aksi filem Malaysia menaikkan prestij silat seperti dalam cerita Merantau Warrior ataupun Queen of Langkasuka. Suatu pujian perlu diberikan kepada dua pelakon watak protagonist ini dengan lakonan mantap dan benar-benar menghayati watak.
Wan Suraya pula tidak kekok berlakon sebagai seorang wartawan berita yang sangat bersungguh-sungguh ingin membongkarkan rahsia di sebalik Syarikat Anak Bumi Sdn Bhd. Lakonan mantap Nabila Huda itu terserlah dengan "serangan" pertanyaan kepada Datuk Berham sehingga memaksa sidang akhbar ditangguhkan, dan unsur kecindan melayan Cameraman serta Boss Syarikat Sinar TV menampakkan lagi wataknya sebagai seorang wartawan yang bijak. Ketakutan tetapi ada pengharapan terhadap rasa ingin tahu berkenaan Tombiruo nampak sangat berkesan dalam lakonannya. Wan Suraya memainkan peranan yang sangat penting dalam menyatukan dua watak Protagonist dalam menentang Watak Antagonis sebenar iaitu Encik Juslan. Mimik muka dan mainan perasaan Nabila Huda meningkatkan lagi penghidupan watak Wan Suraya, terutama semasa dia sedang ditembak oleh Wong di pengakhiran babak filem ini.
Datuk Berham (M. Nasir) dan Bapa Tombiruo (Faizal Hussein) muncul seketika dalam filem ini, tetapi masing-masing menunjukkan kekuatan watak masing-masing, sebagai nilai tambah kepada filem ini. Permainan perasaan isteri Datuk Berham (Marlia Musa) dan Puan Baizura (Dynas Mokhtar) juga penting dalam plot kecil, tetapi ia menghidupkan jalan cerita dalam filem ini.
Watak antagonis juga agak berkesan, walaupun agak kekok sedikit lakonan Michael Chen dalam filem ini sebagai Ketua Security, En. Wong yang tidak menampakkan dia sebagai budak jahat. Tetapi, berwajah manis dan senyuman Wong dapat dihidu niat watak yang tidak baik dapat filem ini, dan di situ dia memainkan peranan yang sangat besar sebagai penjahat.
Ditambah pula dengan teka-teki penjahat sebenar yang tidak disangka-sangka, dari suatu watak yang nampak bodoh-bodoh alang, rupanya dia adalah perancang utama dalam jenayah yang berlaku berkaitan dengan Syarikat Anak Bumi.
Apapun, cakap pun tak guna, tembak pun tak kena. Saya rasa anda-anda semua perlu menonton tayangan adiwira Tombiruo ini sendiri di Pawagam-pawagam berhampiran anda kerana mungkin ini adalah karya anak tempatan yang terbaik dihasilkan setakat ini dengan pelbagai aksi yang mendebarkan dan mengujakan. Bukan mudah Karya Tempatan dapat rating 8.9/10 di IMDb, setara dengan Rating Bisik Pada Langit (8.8/10) dan lebih tinggi dari Abang Long Fadil 2 (8.1).
Comments
Post a Comment