Tun-sun - Empayar di dalam Empayar

Tun-sun  merupakan salah satu daripada empayar-empayar awal yang dikesan di Tanah Melayu.  dia telah dikesan berinteraksi dengan kerajaan Wu  seawal kurun ke-3 Masihi. Dalam Liang-Shu, diceritakan oleh pengembara Cina yang bernama Kang T’ai dan Chu Ying ke empayar Funan, di mana Tun-sun yang pada mulanya sebuah empayar dengan lima kerajaan yang merdeka, diserap ke dalam Funan oleh Raja Pan-Shi-Man dan seterusnya menjadi sebahagian daripada Funan.
Jangkaan kawasan Tun-sun: gambar Google Map

Menurut Liang-shu, bab 54, folio 7 menyatakan:

“Lebih dari 3000 li dari sempadan Selatan Funan ialah Kerajaan Tun-sun, yang terletak di batu pijakan lautan (Ocean stepping-stone yang saya percaya maksudnya sebagai persinggahan perjalanan antara dua lautan). Wilayahnya sepanjang 1000 li panjangnya, kotanya 10 li dari laut. Terdapat lima raja yang semuanya mengaku sebagai raja bawahan (vassal) kepada Funan. Sempadan Timur Tun-sun berhubung terus dengan Chiao-chou (Tong-king), sempadan Baratnya berhubung dengan T’ien-chu (India) dan An-shi (Parthia). Semua negara-negara melebihi sempadannya datang dan pergi untuk mengejar perdagangan, kerana Tun-sun dalam lingkungan dan hubungan dengan lautan lebih dari 1000 li. Chang-hai (Teluk Siam) terbentang luas dan semua jong-jong laut bebas tidak boleh menyeberanginya secara terus. Di pasar ini, Timur dan Barat dapat berhubung dan setiap hari, bilangan orang yang mengunjunginya terlalu ramai sehingga tidak dapat dibilang lagi ramainya. Benda-benda berharga dan barangan yang sukar ditemui, tidak ada yang tidak berada di sini. Lebih dari itu, terdapat pokok arak (wine-tree) yang bentuknya seperti pokok buah delima. Jus dari bunganya dikumpulkan dan dibiarkan di dalam jag, selepas beberapa hari ia akan menjadi arak.”

Menurut dapatan daripada Kronik Liang ini, ternyata Tun-sun berada di tengah-tengah kawasan semenanjung yang sempit  di utaranya yang berhubung dengan Teluk Siam, dan perdagangan di zaman itu bermodelkan perdagangan monopoli dengan Oc-eo dan Vyadhapura sebagai pusat perdagangan entreport di zaman itu. Oleh kerana Jong-jong mega yang membawa ribuan barangan tidak dapat menyeberangi antara laut andaman dan teluk Siam, pengangkutan daratan atau perahu kecil yang menyeberangi sungai menjadi sangat penting di zaman itu. Oleh itu, tapak-tapak pasar dan kampung-kampung pelabuhan dibina di Tun-sun membolehkan perdagangan Timur dan Barat terus singgah membeli-belah di sana, tanpa perlu belanja logistik tambahan untuk menyeberangi Kawasan Tun-sun dan jong-jong besar juga tidak mahu belayar melalui Selat Melaka kerana ancaman lanun dan bayaran Tol untuk melalui perairan Kerajaan Melayu di Selatan.

Melihat kepada ancaman kepada perdagangan Funan, Pan-shi-man yang menguasai daratan luas serta negara bawahannya iaitu Chen-la mempunyai tentera yang ramai, mereka membina perahu-perahu perang yang besar dan menggempur negara Tun-sun. Dalam peperangan pada kurun ke-4M tersebut, ibukota empayar Tun-sun (berkemungkinan di Samut Songkram sekarang) mengalami kekalahan dan rajanya terpaksa tunduk kepada Pan-shi-man, raja melayu dari empayar Funan. Oleh yang demikian, Funan telah menguasai perdagangan entreport yang dijalankan di lima buah negarakota Tun-sun dan aktiviti ini diteruskan lagi dengan raja-raja Tun-sun menjadi sebahagian daripada sistem Talasokrasi Funan.

Maklumat lain berkenaan dengan Tun-sun dalam kronik Cina ialah dalam dokumen Nan-chou I-wu Chih, ditulis pada kurun ke-3 M yang disimpan di dalam naskhah T’ai-p’ing Yu Lan (Bab 788, Folio 1). Dalam dokumen ini, “Nan-chou I-wu Chih menyatakan bahawa Tun-sun jaraknya lebih 3,000 li dari Funan. Mula asalnya, ia adalah sebuah negara merdeka. Mantan Raja Funan iaitu Fan-man, sangat berani; baginda menakluk dan menundukkan negara itu. Pada masa kini (dokumen ini ditulis) ia menjadi negara bawahan Funan.”

Dalam bab yang sama, T’ai P’ing Yu Lan mengulangi pernyataan dalam Nan-shih (Liang-shu di atas), tetapi melengkapkan lagi dengan menambahkan etnografi Tun-sun. Teks itu menyatakan, “Funan chi, melalui Chu-chih, menyatakan bahawa Kerajaan Tun-sun ialah kerajaan yang terikat kepada Fu-nan. Rajanya digelar Kun-lun. Di dalam negara ini terdapat 500 keluarga hu dari India, dua Fo-tu (stupa) dan lebih dari 1000 Brahman dari India. Penduduk asal Tun-sun mengamalkan doktrin mereka (Brahman India) dan mengahwinkan anak mereka dengan Brahman dari India tadi, menyebabkan mereka akan terus menetap di Tun-sun. Mereka tidak berbuat apa-apa melainkan mendalami Kanun Suci, mandikan diri mereka dengan wangi-wangian dan bunga-bungaan, dan mempraktikkan ajaran agama tanpa henti, siang dan malam. Semasa sakit tenat, mereka (penduduk Tun-sun) akan mengadakan upacara pengebumian burung. Dengan nyanyian dan tarian, pesakit akan diarak keluar dari bandar, di mana terdapat burung yang akan makan mereka. Tulang-temulang yang tinggal akan dibakar, abunya diletakkan dalam kendi dan ditenggelamkan ke dalam laut. Jika burung-burung tidak makan daging mereka, mereka akan dimasukkan ke dalam bakul. Pengebumian api dilakukan, ia memerlukan pesakit dibuang ke dalam api. Abu mereka akan dimasukkan ke dalam keranda dan pengebumian korban ditawarkan pada masa yang tidak ditetapkan. Terdapat pokok arak yang mempunyai persamaan dengan delima. Bunga-bunganya dikumpulkan dan jusnya dibiarkan di dalam jag. Selepas beberapa hari, ia akan menjadi arak yang tidak bertoksik.”

Sumber dari cina ini menjelaskan bahawa Tun-sun adalah negara bawahan dari Funan. Penduduk asal kawasan ini sangat tertarik dengan Brahman yang datang dari India dan Tun-sun menjadi pusat penyebaran agama Hindu-Buddha, selain daripada kawasan perdagangan entreport. Namun begitu, pengebumian burung atau langit ini masih diamalkan dalam ajaran Buddha Vajrayana di Tibet pada masa kini, memungkinkan amalan tersebut berasal dari Tun-sun ini. Pengebumian burung ini masih diamalkan secara asli oleh orang asli Australia dan direkodkan menjadi amalan suku-suku kaum Dakota di Amerika Utara.
Perkahwinan antara penduduk asal Tun-sun dengan Brahman dari India melahirkan kaum-kaum yang mempunyai pengaruh Aryan kerana pada zaman tersebut, Brahman yang ramai berasal dari Teluk Bengal yang kebanyakannya adalah Kaum Indo-Aryan. Hubungan yang baik antara Funan dan Kalinga menyebabkan sehingga sekarang, penduduk yang berasal dari India dipanggil Kalinga atau Keling dalam bahasa melayu. Oleh itu, Brahman yang datang ke Tun-sun juga kebanyakannya berasal dari Kalinga. Keadaan ini melahirkan ramai Bangsa Melayu dan Mon di Utara Kedah mempunyai fenotip Aryan seperti berhidung mancung dan berkulit sedikit gelap, serta menjadikan bahasa Sanskrit disebarkan secara meluas di kepulauan melayu, hasil daripada perkahwinan rakyat tempatan dengan Brahman dari Kalinga ini.

Menurut Tong Dian, Teks sejarah  dan ensiklopedia yang ditulis oleh Do You Pada abad Ke-8M iaitu semasa Dinasti Tang berkuasa di China, Sempadan timurnya menghadap ke Jiaozhou,  iaitu negara China dan bahagian Timurnya menghadap ke India dan Parthia. Oleh itu, Tun-sun berkemungkinan ialah satu empayar yang terdiri daripada lima buah negara campuran antara Melayu dan Mon. Tun-sun  secara literalnya bermaksud lima bandar dalam bahasa Mon. Tun-sun adalah laluan pintas yang merentasi  Utara Semenanjung Tanah Melayu. Kawasan ini berkemungkinan merupakan empayar negara kota asal kepada kerajaan Luo-yue,  boleh didefinisikan sebagai nama panggilan kepada Mo-lo-yue.  Dengan keterangan bahawasanya raja mereka bergelar Kunlun  dan orang Melayu pada masa dahulu digelar kunlun juga,  bolehlah dihipotesiskan  Luo-yue adalah antara kota yang  bernama Melayu terawal yang berhubung dengan kerajaan di China,  serta terletak di utara semenanjung Tanah Melayu.

Tun-sun berkemungkinan terletak di Tanah Sari  atau tenasserim pada masa kini yang akhirnya menjadi Thaninthary,  sebahagian daripada negara Myanmar.  semasa fasa perluasan kuasa oleh Pan-shi-man dalam empayar Funan,  kerajaan Tun-sun ini ditakluk keseluruhannya oleh Funan, Namun begitu, nama Tun-sun kekal wujud kerana prestij pasarnya yang terdapat lebih 10,000 pedagang setiap hari. Tun-sun mengawal pergerakan barangan dari Pelabuhan Baratnya di Davoi dan pelabuhan Timurnya di Samut Songkhram, melalui jaringan sungai di Myiek (Myanmar), Kanchanaburi dan Samut Songkhram. Kawasan ini menjadi kawasan Metropolitan yang kaya semasa penguasaan orang-orang Mon di Lembah Sungai Chao Phraya, kerana mereka memperdagangkan barangan kepada bangsa Mon, sebelum Mon memperdagangkan kembali ke Funan. 

Namun, selepas Pan-shi-man menakluk 10 negarakota termasuklah Kerajaan Dvaravati (Mon), Tun-sun, Chiu-chih dan Chu-Tu-kun, yang berkemungkinan bersambung-sambung dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan Melayu dan Mon, Funan bertukar menjadi empayar talasokrasi yang sangat kaya-raya. Negara-negara tersebut adalah wilayah maritim melayu dan pedalaman sungai mon. Namun begitu, penguasa Tun-sun sangat mungkin raja-raja melayu kerana lokasinya yang terletak di laluan sempit berhampiran lautan dan membentuk empayar. Lazimnya, negara melayu akan membentuk empayar persekutuan dengan penggiliran raja-rajanya.

Dari Tun-sun, ia menjadi Luo-yue.

Selepas kejatuhan Funan pada kurun ke-6M, Tun-sun mencapai kemerdekaan. Kawasan Utara Tun-sun menjadi negara Mon (Dvaravati) dengan pelabuhan Davoi menjadi pelabuhan Mon. Kawasan di Selatan Dvaravati bertukar nama menjadi Lo-yue yang jika diterjemahkan secara terus dari bahasa Cina bermaksud orang-orang yang tinggal di pinggir laut ataupun orang-orang yang menetap di pesisir pantai oleh itu saya berpendapat asalnya Lo-yue itu adalah negara yang mana orang-orangnya adalah orang-orang laut dan ianya sangat sesuai untuk didefinisikan dengan orang Melayu. Oleh yang demikian, di bahagian tersebut, iaitu negara Tun-sun sememangnya adalah Negara Melayu. Selepas ditakluk oleh Funan, ia terus-terusan menjadi sebahagian daripada Funan tanpa ada pemberontakan selama lebih kurang 200 ke 300 tahun. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh Tun-sun dan Funan adalah sebangsa yang sama iaitu kerajaan-kerajaan bangsa Melayu.
Walaubagaimanapun, kita kekurangan bukti untuk mengaitkan kerajaan Tun-sun  dengan bangsa Melayu. Namun begitu, hipotesis ini berkemungkinan ada benarnya kerana dengan menukarkan namanya menjadi Lo-yue, secara tidak langsung ia juga membawa maksud yang sepadan dengan bangsa maritim melayu iaitu bangsa laut yang mempunyai tradisi maritim sejak awal 1000 tahun SM. 

Banyak Sarjana yang meletakkan Tun-sun dan Lo-yue di kawasan Johor kerana Kalau mengikut kepada kronik Cina, ia terletak kira-kira 3000 li dari Selatan Funan. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan 3000 li ini ialah dari Selatan Kota Funan iaitu Vyadhapura. Seterusnya, pada zaman Merong Mahawangsa menguasai Langkasuka mereka menakluk dan menyerap Lo-yue ke dalam empayarnya seterusnya bergabung pula dengan empayar Srivijaya. Empayar di dalam empayar ini modelnya sama seperti empayar Funan dan empayar Tun-sun. yang mana empayar Tun-sun berada di dalam empayar Funan. Sistem penggiliran raja-raja secara tidak serasi berlaku dalam Empayar Melayu yang lain. Dalam Sriwijaya terdapat beberapa empayar yang kecil seperti Empayar Langkasuka di utara semenanjung Tanah Melayu, Empayar Melayu yang terletak di antara tiga buah kerajaan di Palembang, Temasik, dan Kalimantan Barat serta Empayar Kalinga yang terletak di Barat Jawa. Empayar-empayar ini digilir-gilirkan penguasaan rajanya mengikut tradisi srivijaya dan cara penggiliran ini membolehkan srivijaya dan Funan bertahan lebih dari lima abad. Walaupun ibukotanya sering berpindah-randah. Walaupun empayar-empayar tersebut sering bertukar ganti raja-raja yang memerintah srivijaya, namun kaedah ini membolehkan srivijaya terus mandiri walaupun pernah diserang oleh pelbagai negara asing seperti Chen-la, Chola, Mataram kuno dan sebagainya.

Keberadaan Tun-sun di utara semenanjung Tanah Melayu menunjukkan bahawa orang Melayu pada zaman dahulu merupakan pedagang-pedagang yang hebat ataupun kerajaan yang dapat menguruskan pasar-pasar mega yang terdiri daripada berpuluh ribu pedagang setiap hari.

Namun, penduduk Lo-yue beransur-ansur bertukar menjadi Orang-orang Mon apabila orang melayu bergerak ke Selatan iaitu ke arah Langkasuka selepas Funan terbubar. Mengikut rekod Xin Tang Shu, penduduk Lo-yue adalah sama dengan penduduk Dvaravati, memungkinkan di zaman dinasti Tang, Lo-yue telah menjadi sebahagian daripada negara Mon sehingga ke hari ini (diserap ke dalam Burma), dan masyarakat melayu telah menjadi minoriti di sini.


Rujukan:
1. Paul Wheatley (1961), The Golden Khersonese, University of Malaya Press.
2. http://www.atlasobscura.com/articles/sky-burial
3. Suzuki Takahashi (2012), The History of Srivijaya, Under The Tributary Trade System of China, JPCA
4. Dr. Benudhar Patra (2011), Kalinga and Funan : A Study in Ancient Relations, Orissa  Review
5. Cik Srikandi (2017), Rentaka Sekalian Bijasura, Terfaktab Fine.
Jangkaan politik-politik sebelum Srivijaya: gambar dari Suzuki Takahashi (reference no.3)


Comments

Popular Posts