Isu Patung Christo Redento di Melaka

Isu replika Patung Christo Redento atau Christ the redeemer di Perkampungan Portugis terus hangat ditukarkan di media-media sosial. Patung yang keenam terbesar yang seumpama dengannya dibina khas untuk sambutan Hari Natal dalam kalangan masyarakat kristang atau Portugis di Melaka ini dan mengambil rekabentuk patung yang sama di Brazil, yang terbesar di dunia.

 Sebagai guru yang mengajar di SMK Canossa Convent, Melaka iaitu sekolah yang paling hampir dengan replika ini, saya terpanggil untuk menceritakan sedikit hal yang berkaitan dengan pembinaan patung kristian katolik ini. Apatah lagi, setelah kami guru-guru melayu Islam dituduh membuat laporan berkenaan dengan pembinaan patung ini (yang menyebabkan pembinaannya ditangguhkan), walaupun kami tidak pernah ambil tahu pun dengan hal-hal yang berkaitan dengan perkampungan ini.

 Kronologi

 Pembinaan patung ini dimulakan pertengahan tahun lepas (2017) di tapak parkir kenderaan yang terletak di Portuguese Square, bahagian hadapan sekali. Pembinaan patung ini mencapai 70% siap pada bulan 8 atau 9 2017. Kemudian, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengarahkan pembinaan patung ini diberhentikan kerana ia dibina di atas tanah kerajaan negeri tanpa permit dan dibina tanpa persetujuan dan kelulusan.

 Setelah tertunggak beberapa bulan, akhirnya Kerajaan Negeri melalui MBMB membenarkan pembinaan ini diteruskan bersyarat. Hal ini kerana Perkampungan Portugis akan jadi tuan rumah sambutan krismas peringkat kebangsaan 2017. Setelah Ahli Majlis, Joseph St. Maria berbincang dengan Pengerusi MCA Kota Melaka, Lim Ban Hong dan membawa perkara ini kepada Ketua Menteri ketika itu, maka mereka meluluskan pembinaan diteruskan pada pertengahan Disember 2017 tetapi hanya untuk krismas dan tahun baharu sahaja. Selepas tamat sambutan Tahun Baharu, pihak perkampungan Portugis perlu merobohkan atau memindahkan patung tersebut ke tanah persendirian dan mereka bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.

 Maka, perayaan krismas dan tahun baharu diadakan dengan meriahnya. Namun, selepas tamat perayaan, mereka menangguh-nangguhkan dan melengah-lengahkan proses pemindahan patung tersebut.  Usaha memindahkan patung tersebut terus menemui jalan buntu apabila Pilihanraya tiba. Persoalannya, adakah Kerajaan Negeri yang baharu akan merobohkan atau akan mengekalkan patung ini selepas ini? Mengapa perlunya patung ini dipindahkan? Ia kerana patung ini dibina tanpa permit di atas tanah kerajaan negeri dan bukan dalam kawasan rumah ibadat atau tempat persendirian. Bukankah ada termaktub dalam undang-undang Persekutuan yang melarang pembinaan rumah ibadat atau patung-patung keagamaan selain islam di luar daripada kawasan rumah ibadat yang dibenarkan sahaja? Arahan merobohkan atau memindahkan itu tertakluk kepada undang-undang, bukan MBMB sengaja bermain isu sensitif. Sekian terima kasih.

 Rujukan:
 https://m.malaysiakini.com/news/400961 http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/beri-kebenaran-sehingga-sambutan-krismas-1.770067

Comments

Popular Posts