Hadirnya disyukuri, perginya ditangisi
Gurindam Taat Setia Rakyat Kepada Raja
Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.
Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal kasa dan cindai.
sumber: http://yokmanceng.blogspot.my/2012/09/taat-setia-rakyat-kepada-raja.html
Begitulah keadaannya di Tanah Melayu ini. Zaman berzaman kita mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Adat melayu mestilah beraja, hilang raja maka hilanglah kerajaan. Hilang kerajaan maka hilanglah kemakmuran. Maka kembali kita semua ke zaman huru-hara, dengan undang-undang rimba. Raja-raja ini memayungi negara. Suatu masa dahulu, sesebuah desa nelayan akan berubah menjadi Kota Pelabuhan yang makmur dan gilang-gemilang apabila seorang raja daripada kerabat yang betul dan legitimasi bersetuju ditabalkan sebagai raja di situ. Hal ini kerana, seorang raja adalah pentadbir yang bijaksana dan dapat memimpin dengan sangat bijak. Kepemimpinan yang hebat ini pula ditunjangi oleh para pembesar yang turut bijak dalam memberikan buah fikiran mereka, seterusnya dapat meningkatkan lagi kecemerlangan mentadbir sesuatu negara. Maka, sebuah desa biasa atau pelabuhan kecil akan berubah wajah menjadi sebuah kota yang gilang-gemilang.
Bukan mudah untuk mengekalkan keamanan dan identiti sesebuah negara. Banyak negara yang telah tumbang dirampas kuasanya, dipaksa rakyatnya untuk mengikuti cara musuh Dan akhirnya dihapuskan identiti bangsa tersebut. Sebagai contoh bangsa yang telah pupus disebabkan dicuri kebudayaan dan dihapuskan jejak mereka oleh bangsa penjajah ialah Bangsa Pyu, bangsa Pheonician, Bangsa Qibti dan sebagainya.
Sebagai anak Melayu kita seharusnya berterima kasih dan bersyukur dengan kehadirsn raja-raja Melayu kerana dengan kebijaksanaan mereka bangsa Melayu masih wujud lagi di dunia ini walaupun bangsa-bangsa purba yang lain telah pupus satu persatu dan yang lebih menariknya bangsa Melayu asli dan orang asli yang lain dapat mengekalkan identiti mereka dengan kebijaksanaan raja raja Melayu menempatkan mereka dalam kalangan bangsa Melayu yang mana bangsa Melayu asli yang menetap di pinggir sungai dan di pinggir pantai telah dilantik bersama-sama dengan pembesar yang lain untuk menjadi penggerak kepada kerajaan.
Di samping itu kaum kaum dan bangsa bangsa lain yang bernaung di dalam negara yang ditunjangi oleh raja-raja Melayu turut mendapat pelbagai keistimewaan seperti dilindungi dan tidak diganggu mereka bebas untuk mengamalkan cara hidup mereka berdasarkan agama dan kaum masing-masing Begitulah uniknya orang Melayu dengan sikap toleransi nya sukan untuk kita mencari tamadun lain yang dapat bertoleransi dengan pelbagai bangsa seperti mana raja-raja Melayu melantik pembesar dalam kalangan kaum-kaum selain Melayu. Contohnya, Naina Chatting dilantik menjadi Syahbandar di Kampung Keling iaitu Kampung majoriti pedagang-pedagang India dia menjawat jawatan tersebut yang diwariskan daripada Raja Mendeliar iaitu seorang raja berketurunan India muslim yang telah menjadi Shahbandar sebelum dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana telah bersekongkol dengan musuh Melaka untuk menjatuhkan Melaka dan terlibat dengan fitnah yang membawa kepada pembunuhan sekeluarga Tun mutahir iaitu Bendahara Melaka pada masa tersebut.
Oleh itu semua bangsa dan kaum perlu menghormati raja-raja Melayu yang mana dengan adanya kerabat diraja Melayu ini kita akan dapat mengecapi keamanan dan kemakmuran yang sebenarnya sukar untuk diteruskan dari zaman ke zaman kerana negara lain seperti Siam, Khmer, Chola dan sebagainya amat cemburu dengan kemakmuran yang kita nikmati di negara kita ini. Negara kita kaya dengan pelbagai sumber alam dengan cuaca yang sesuai untuk bercucuk tanam serta mendapat hujan dan panas sepanjang tahun, negara kita mampu mengeluarkan pelbagai hasil tanaman. Tambahan pula, kedudukan yang strategik di antara India dan Cina mendorong negara kita berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda sebagai pelabuhan entreport dan toll laluan dari Timur ke Barat dan Barat ke Timur.
Sebagai rakyat biasa, kestabilan yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin dan raja-raja terdahulu. Yang mana, Raja yang meneruskan legasi ini adalah ketua negara, iaitu persekutuan Negarakota-negarakota Melayu yang membentuk Malaysia hari ini. Dengan perkenan baginda raja-raja Melayu, Malaysia dapat mengekalkan keamanan dan kemakmurannya. Hari ini, kewujudan institusi beraja bukan sekadar perhiasan sahaja di atas singgahsana. Raja masih memainkan peranannya sebagai ketua negara walaupun segala undang-undang negara hari ini digubal melalui parlimen dan demokrasi. Namun begitu, perkenan raja masih diperlukan bagi melaksanakan undang-undang ini, walaupun kuasanya dikurangkan di zaman perdana menteri Malaysia yang keempat.
Oleh itu, perlulah kita berasa sedih di atas kegeringan baginda Sultan dan menangisi kemangkatan almarhum raja-raja Melayu kerana kita kehilangan pemimpin teragung dalam kerajaan negara kita. Saya secara peribadi sangat tersinggung dan sedih dengan tohmahan dan hinaan kemangkatan Duli Yang Maha Mulia oleh segelintir individu yang menetap di negara milik raja ini. Mereka sangat tidak kenang dek untung, berlindung di sebalik kesejahteraan negara milik raja ini, tetapi mengeluarkan kenyataan yang sangat biadap terhadap pemergian baginda.
Sesungguhnya, marilah kita bersama-sama berkabung di atas kemangkatan baginda almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Semoga ruh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab. Amin ya Rabbal Alamin. Al-Fatihah.
Comments
Post a Comment